Photobucket PeNCArIan KeBahAgiaN Perlu DitruSkn...

Sunday, October 23, 2011

Hakikat Persiapan Perkahwinan


Saya merasakan kita perlu wujudkan post mortemdengan apa kita lakukan dan apa yang berlaku di sekeliling kita. Namun, kita perlu mengelak dari menjadi kebiasaan diri kita yang selalunya mencari alasan untuk membenarkan cara, walhal kita perlu mencari kebenaran untuk mengetahui cara.
Di musim perkahwinan yang lalu, rata-rata seronok sekali berkenduri kendara dengan pelbagai tema dan mengharungi pelbagai rintangan dalam persiapan. Rata-rata majalah dan ceramah agama menyentuh aspek larangan dalam kebiasaan menganjurkan walimatulurus seperti pakaian, kelalaian masa, pertembungan antara budaya dan agama, dan pembaziran wang. Namun, aspek persiapan dicanang-canang seawal 3 hingga 4 bulan, sehingga dianjurkan Wedding Festival dan Pameran Kerja Kahwin.
Secara umumnya, kita melihat bahawa kaum hawa lebih fokus dan komited dalam melakukan persiapan perkahwinan, dari persiapan jemputan, ketibaan, hiburan, bersanding dan makan beradap serta fotografi. Di pihak lelaki, rata-rata kita menyaksikan lelaki lebih cenderung bersiap sedia menghadapi saat akad nikah. Terutamanya berkenaan soalan-soalan cepu emas.
Tidak terlepas pandang, dikalangan lelaki yang mempersiapkan diri untuk malam pertama. Baju bersanding, keadaan dewan, jemputan dan berbagai lagi kebiasaannya menjadi pak turut sahaja. Kerenah manusia, ada juga lelaki begitu cerewet berkenaan persediaan begitu, kadang lebih cerewet dari perempuan pula.
Walaubagaimanapun, sejak kebelakangan ini, sekali pandang telah mula nampak kesedaran di kalangan bakal pengantin kerana ada mula membuat persiapan yang hakiki, persiapan untuk menjadi seorang pemimpin keluarga, pendidik keluarga dan seorang yang melengkapi imannya.
Begitulah perkahwinan yang mengubah dengan mengangkat martabat seseorang. Alangkah ruginya jika kita tiada kesedaran ini dan beranggapan bahawa perkahwinan adalah semata-mata untuk berumah tangga dan untuk menghalalkan perhubungan antara lelaki dan perempuan.
Menyedari hakikat perkahwinan ini mengangkat martabat seseorang, maka persiapan perlu dibuat. Bagaikan kita akan ditabal menjadi seorang raja. Kita tidak mahu menjadi seorang raja yang bodoh dan dibonekakan. Oleh itu, ilmu itu perlu.
Bagi seorang lelaki, perlu dia mempelajari sebanyak mungkin ilmu agama terutamanya fiqh dantasawuf. Tidak hanya ilmu itu berkaitan perkahwinan, ini kerana, dia akan menjadi ketua keluarga bagaikan kapten kapal yang akan mengarah arah tuju kemudi kapal. Seorang kapten kapal tidak hanya perlu tahu perihal kapalnya, tetapi juga berkenaan geografi, petunjuk bintang, lautan, pemakanan serta pertahanan.
Jika kamu pembaca ini adalah seorang wanita, mintalah dia bawa kamu atau dia menghadiri kuliah-kuliah agama atau kelas pengajian dewasa di masjid-masjid berdekatan. Insya-Allah dengan usaha yang sedikit, akan membawa keberkatan dan ilmu itu datang kepada kita tanpa kita duga.
Ilmu berumahtangga, terutamanya kaedah-kaedah menghadapi konflik juga penting. Perkahwinan akan menggabungkan 2 keluarga dan seorang suami itu mengetuai jalingan antara dua keluarga ini. Tidak semudah dijangka, konflik dalaman yakni di dalam rumah kita sendiri juga boleh berlaku. Memadai jika bersenang-senang membaca buku-buku motivasi dan hadir ke perbincangan mengenai isu ini.
Ilmu ekonomi rumahtangga antara yang penting dan memainkan peranan besar dalam mengemudi kapal perkahwinan. Sebagai seorang ketua, kita menetapkan bajet dan memastikan anak-anak dan isteri berada dalam keadaan terbaik dalam mencari hala tuju masa hadapan mereka. Buatlah bajet untuk perbelanjaan harian, perbelanjaan ke arah ibadah, zakat dan nafkah.
Ilmu terakhir adalah ilmu menghadapi masalah. Meskipun kita miliki ilmu berumahtangga, ekonomi dan agama sekalipun tetapi kita kurang arif dalam menghadapi masalah, kemungkinan besar kita akan terjerumus ke dalam permasalahan yang lebih besar. Sabar dan bertolak ansur serta menyiasat sebelum bertindak antara kaedah-kaedah dalam menghadapi masalah.
Suka saya menyingkap kata-kata Imam Al-Ghazali, "ilmu semata-mata tidak akan dapat menyelamatkan orang", yang bermaksud, ilmu yang disimpan tetapi tidak diguna pakai akan menjadi sia-sia. Dan orang yang tiada ilmu pula ibarat kapal yang terapung, selamat, tetapi tidak dikemudikan kemana-mana dan mengikut sahaja kemana air membawanya.Carilah ilmu yang bermanfaat.
Dahulunya kita mampu memperlajari ilmu-ilmu di universiti, melepasi segala peperiksaan dan menggenggam ijazah, tidak mustahil untuk kita mempelajari ilmu agama pula. Yang penting, langkah pertama! Mencari ilmu tidak kenal usia, apa dimalukan untuk belajar meskipun usia sudah lanjut, sedangkan doktor-doktor falsafah umurnya menjangkau 40-50an masih belajar mencari PhD?
Saya amat menyeru agar bakal-bakal suami, juga mereka begelar suami kini dan saya sendiri melukis langkah-langkah untuk menjadi suami yang baik dan pemimpin keluarga yang cemerlang dengan merangka langkah-langkah yang bijak. Terimalah hakikat bahawa persiapan perkahwinan bukan hanya persiapan majlis perkahwinan tetapi persiapan menghadapi seakhir hayat usia gelombang perkahwinan. Apa yang lebih penting adalah hari-hari selepas majlis perkahwinan. Sedangkan majlis perkahwinan hanyalah bertujuan mewar-warkan pernikahan yang telah sah untuk mengelak fitnah dan sekadar memori indah untuk kita kenang-kenangkan ketika cabaran mendatang.

Indahnya Khitbah


Isu Kaf Ha Waw Ya Nun bukan sahaja hangat diperkatakan dalam kalangan remaja kita, tetapi sama juga halnya di Maghribi. Sampaikan ada yang percaya, jika perempuan yang umurnya sudah dua puluh tiga tahun tetapi masih tidak berpunya, itu petanda yang bahaya. Takut tidak berkahwin sehingga akhirnya.
Saya sangat tertarik untuk berkongsi pendapat dan pengalaman mengenai perkara yang hangat diperkatakan oleh anak muda seperti saya. Isu Nikah Gantung atau Nikah Khitbah memang isu yang sering kita dengarkan. Saya ada dua kisah untuk dikongsi bersama. Kisah saya mungkin biasa-biasa sahaja penulisannya, tetapi diharapkan semua mendapat manfaat bersama.
Kisah 1
Saya ada seorang kawan, Azizah namanya. Perkenalan kami dimulakan oleh Azizah, sewaktu dia menegur saya di surau. Agaknya dia tahu saya orang asing melalui pakaian saya, lalu dimulakan salam dan perkenalan.
Dia sangat baik orangnya, alim dan cantik. Setiap kali berjumpa, pasti saya akan dipeluk dengan kuat dan diciumnya pipi dengan erat. Hari-hari di semester satu berlalu dengan indahnya dengan perkongsian cerita dan ilmu. Walaupun Azizah pelajar Ilmu Sosiologi, saya pula dalam bidang Bahasa Arab, tetapi bagaikan ada satu kimia yang menghubungkan hati kami dan kami sangat selesa bersama.
Sehinggakan sewaktu kami berjumpa lagi di dalam surau, Azizah bertanya kepada saya:
"Husna, apa yang awak dah buat kat saya ni?"
"Saya selalu rindu awak."
Terharu mendengarkan ayatnya, saya membalas,
"Saya pun tak tahu kenapa, semoga dengan ukhuwah ini membawa kita ke syurga." Sambil tersenyum memandangnya.
Pada suatu hari, kebetulan kami memang tiada kelas pada waktu yang sama, Azizah mengajak saya berjalan-jalan bersama ke taman. Kami duduk di tepi taman berhadapan court bola. Soal Azizah kepada saya memulakan bicara.
"Boleh tak awak ceritakan serba sedikit adat perkahwinan di tempat awak?" Ligat otak saya mencari ayat, menyusun cerita mengenai adat. Haruslah dikongsi dari awal pertemuan bukan?
Secara ringkas, saya bercerita turutan daripada tunang hinggalah ke majlis perkahwinan. Dia bertanya lagi.
"Kamu sudah bertunang ke?"Tersengih senyuman saya melebar ke telinga.
"Semestinya belum lagi." jawab saya.
Rupa-rupanya, Azizah ingin memberitahu bahawa dia sudah bertunang tiga hari lepas dengan anak jirannya. Dia tidak pernah kenal siapa, tetapi ibunya sangat berkenan dengan Azizah dan ingin masuk meminang. Azizah bersetuju kerana jejaka tersebut katanya sangat sopan dan baik budi pekerti menghormati ibu bapa walaupun tidak pernah bersua muka.
Seminggu berlalu, kami berjumpa lagi. Kini Azizah dengan penuh perasaannya menceritakan bahawa dia sudah berkahwin di atas kertas. Menulis akad. Tetapi masih belum melangsungkan majlis perkahwinan.
Katanya, dia masih duduk bersama ibunya dan bukan bersama suaminya. Selepas tiga bulan, suami mengumpul wang secukupnya, rumah sudah tersedia barulah Azizah akan berpisah dengan ibunya. Terkejut. Keliru. Masih tidak faham. Itulah situasi saya ketika Azizah menceritakan statusnya pada bulan April ketika itu.
Tiga bulan berlalu, saya dan Yusra dijemput untuk ke majlis perkahwinannya. Meriah! Berwarna-warni penuh dengan muzik taqlidi dan madah nabawi. Kami dibawa Azizah dari awal sebelum majlis perkahwinan bermula sehingga majlis tamat. Sempat kami menjamah kuskus di rumah ibunya.
Selesai kuskus habis dijamah, suami Azizah datang untuk menjemputnya, pada saat itu ibunya mengalirkan air mata kerana Azizah tidak akan lagi tinggal bersamanya. Kemudian dari rumah ibu Azizah kami dibawa ke rumah barunya yang lengkap berperabot, peti ais, microwave, TV LCD Skrin dan lain-lain lagi.
Seterusnya kami dibawa pula ke tempat bersolek dan akhirnya kami ke majlis perkahwinannya di sebelah malam yang tamat sehingga pukul lima pagi. Fuhh, pertama kali tidak tidur malam hadiri majlis kahwin.
Ini contoh Nikah Khitbah.
Indah bukan?
Kisah 2
Nawal yang kecil molek orangnya menyusun langkah rapi ke kuliah di pagi hari Isnin. Sedang asyik berjalan laju mengejar masa sebelum kelas bermula, dia tersempak dengan saya di pertengahan jalan sebelum saya melintas ke seberang untuk sampai ke kuliah. Dia menepuk perlahan bahu saya. Sambil memberi salam dan bertanya khabar, kami sama-sama berjalan ke kuliah dalam keadaan tergesa-gesa.
Peluang ini saya ambil untuk mengucapkan tahniah kepadanya di atas perkahwinan yang telah dilangsungkan. Rupa-rupanya, Nawal juga masih belum melangsungkan majlis tetapi sudah berakad nikah di atas kertas.
Situasi yang sama seperti Azizah diceritakan kepada saya. Nawal berkahwin dengan kenalan abangnya yang baru sahaja dikenali. Tidak memerlukan masa pertunangan yang lama, mereka terus melafazkan akad nikah tetapi masih belum duduk serumah. Suaminya sedang bekerja mengumpulkan duit secukupnya supaya Nawal boleh tinggal dengan selesa di rumah miliknya.
Nawal yang sentiasa mengenakan pakaian salafi gelap, bertudung litup seluruh badan leka bercerita saat pertemuannya sehinggalah kami tiba di pintu masuk kuliah. Oleh sebab kelas kami berlainan, jadi saya minta izin untuk ke arah yang bertentangan. Sebelum berpisah dengannya, Nawal sempat berpesan kepada saya untuk memberitahu Yusra yang dia mahu datang ke rumah untuk menggunakan internet.
Pada sebelah petangnya, Nawal datang ke rumah kami seusai kelasnya tamat. Sememangnya rumah kami tidak ubah seperti sebuah Cyber Cafe, maka ramailah kawan-kawan kami singgah untuk menggunakan internet walaupun sekejap sahaja.
Nawal masuk dan terus ke bilik Yusra untuk menggunakan laptopnya. Sebelum MSN Messengerdibuka, Nawal berhias secantiknya untuk duduk di hadapan komputer.
Kenapa dia berhias untuk kami?
Perlu ke menggunakan internet sambil berhias diri?
Nawal sebenarnya hendak berjumpa si buah hati. Ya, dia sedang bersiap untuk berdatingdengan suami. Sweet bukan?
Oh Tuhan, saat dia berada di hadapan komputer berwebcam dengan suami tercinta, kami terasa sangat gembira dan bangga dapat menolong orang berdating buat kali pertamanya.Dating yang halal dan membawa pahala.
Alhamdulillah, sekarang Nawal sudah mengandung enam bulan. Walaupun begitu, dia tetap gagahkan diri belajar di kuliah selagi termampu.
Kisah ini juga contoh Nikah Khitbah. Indah bukan?
Adat Melayu kita menampakkan proses perkahwinan itu adalah sesuatu yang sangat kompleks urutannya. Pada hakikatnya, ianya sangat mudah.
Setiap perkahwinan itu sentiasa kita impikan keindahan berpanjangan. Namun harus diingatkan juga, niat untuk membina sebuah masjid itu perlu dibetulkan. Tanya diri semula.
Mengapa aku ingin berkahwin?
Sudah sediakah aku menjadi seorang suami?
Mampukah aku bergelar seorang isteri?
Jikalau jawapan yang diberikan masih tidak, maka sebaiknya kita beristighfar selalu, berpuasa dan dekatkan diri kepada Allah S.W.T dalam masa yang sama kita persiapkan diri untuk sebuah perkahwinan nanti.
Utamakan perkara  yang lain terlebih dahulu. Sibukkan diri dengan perbaiki dan kenali diri. Tidak perlu terburu-buru dalam hal mendirikan rumah tangga, takut-takut juga nanti berakhir dengan perceraian. Bercerai dalam usia yang muda. Nauzubillah.
Bercouple, berpasangan, bercinta, berkasih sayang, namun hubungan tersebut masih tidak diikat dengan sebuah ikatan yang sah takut-takut hanya membawa kemurkaan Allah SW.T.
Sudah pasti perkara tersebut melalaikan kita dan menjauhkan kita daripada-Nya. Semua orang senang berkata, "Takpe, yang penting kita jaga hati." Tetapi hanya Allah S.W.T dan diri sendiri tahu sejauh mana kita mampu menjaga hati kita.
Sebuah perkahwinan yang diberkati Allah S.W.T menjadi dambaan semua.
Kita juga mengimpikan anak soleh dan solehah penyejuk mata.
Maka dari permulaannya lagilah perlu kita jaga.
Mungkin ada yang akan bercakap, "Mudahlah awk berkata-kata, awak masih belum diuji, tunggulah nanti."
Mungkin saya belum diuji, mungkin saya pula akan kalah nanti, tetapi saya sedang persiapkan diri.
Sebagai sahabat, saya hanya ingin beringat. Kelak, ada pula yang mengingatkan saya di saat saya sesat.