Photobucket PeNCArIan KeBahAgiaN Perlu DitruSkn...

Monday, June 6, 2011

Hidup lebih fokus apabila berdamping kitab suci

Menghayati al-Quran bersama tafsirannya buatkan jiwa individu sentiasa disemai dengan ketakwaan

TERINGAT lagi ketika kecil, setiap kali selepas solat Maghrib, ibu akan mengajar saya membaca al-Quran. Ibu adalah ‘guru mengaji’ yang setia mengajarkan kami kalimah Allah bagi memastikan kami adik beradik celik al-Quran. 

Walaupun ilmu membaca al-Quran memang sudah disemai di dada sejak kecil tetapi tidak dinafikan dari segi amalan memang ada cacat celanya. Apabila kembali mendekatkan diri dengan al-Quran, saya terasa perbezaannya.
Oleh itu, boleh saya katakan, perubahan yang saya lalui kini ada kaitannya dengan mukjizat al-Quran yang menjadi mukjizat Nabi Muhammad SAW. Kesetiaan berdampingan dengan kitab Allah menjadikan saya kini lebih fokus dengan apa yang ingin dilakukan serta dicapai dalam hidup.

Selain menjadikan hati yang resah kembali tenang, wahyu Allah memiliki seribu satu kelebihan dan hanya mereka yang pernah merasai dapat menceritakan kemanisan pengalaman itu. Ini kerana semua mempunyai cerita masing-masing. 

Kehidupan saya rasakan lebih mudah selepas berjinak-jinak kembali membaca al-Quran secara istiqamah, sekurang-kurangnya satu halaman sehari. Perancangan harian juga menjadi lebih teratur kerana fikiran lebih fokus. 

Justeru, apabila melihat anak muda sekarang seakan menjauhkan diri daripada al-Quran, timbul rasa sedih. Seseorang itu tidak semestinya perlu berubah menjadi alim untuk membaca al-Quran kerana membaca al-Quran sepatutnya sebahagian daripada amalan harian. 

Kita kata hendak semua tetapi bagaimana mungkin kita akan mendapat semuanya jika diri serta fikiran tidak fokus. Tetapi cuba dekatkan diri dengan al-Quran, Insya Allah ia akan membuka jalan untuk kita melangkah ke depan. Cubalah. 
Saya sendiri tidak pandai membaca al-Quran secara berlagu seperti qari dan qariah hebat yang kita tonton di televisyen dan ilmu tajwid pun masih perlu diasah lagi supaya lebih mantap. Tetapi, kesan daripada amalan itu memang menakjubkan. 

Malah, ganjaran yang dijanjikan juga begitu besar. Daripada Aisyah, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang (mukmin) yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran padahal dia gagap sehingga sulit baginya membaca, maka dia mendapat pahala ganda.” (Hadis riwayat Muslim) 

Pengalaman saya sendiri, ada pesakit yang datang mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah mengakui hatinya lebih tenang selepas mengamalkan membaca surah yang diberi sebagai penawar untuk penyakit dihadapinya. 

Ada juga mengakui, sebelum ini tidak tahu membaca al-Quran atau tergagap-gagap mengalunkan kalimah Allah tetapi kini sudah boleh membaca dengan lancar. Alangkah indahnya pengalaman serta nikmat diterima mereka. 

Bagi saya, jika tidak tahu membaca al-Quran, ia adalah satu kerugian. Tidak mengapa jika baca merangkak-rangkak kerana sekurang-kurangnya kita berusaha. Berkat kesungguhan itu, lama-kelamaan lidah akan lancar. Percayalah. 

Tidak dinafikan ramai ibu bapa hari ini menyedari pentingnya anak mereka didedahkan dengan ilmu membaca al-Quran. Malah, mana-mana sekolah tahfiz akan dipenuhi kanak-kanak dan golongan remaja. Ini bukti tahap kesedaran ibu bapa supaya anak mendapat didikan agama semakin tinggi. 

Mengenang zaman kanak-kanak, saya juga didedahkan kepada ilmu yang tidak kurang hebatnya. Dari kecil saya dilatih menjadi tukang azan di surau berdekatan rumah. Terima kasih kepada tok bilal dan tok siak yang sentiasa memberi peluang saya mengalunkan azan. 

Ketika sekolah rendah pun saya beserban ke sekolah dan terbabit dengan kumpulan nasyid. Ingat lagi ketika itu bercelak hitam di bawah mata. Saya juga terpilih mewakili sekolah untuk pertandingan bercerita kisah nabi malah pernah mendapat tempat kedua. 

Semua itu saya lihat sebagai asas yang mendedahkan saya kepada pelbagai cabang ilmu yang asalnya terkandung dalam kitab al-Quran. Betapa pentingnya al-Quran kepada seorang Muslim, sewajarnya ia menjadi sebahagian daripada amalan kehidupan harian kita. 

Namun, masih ada remaja serta golongan muda yang terus leka serta menjauhkan diri dari kitab Allah mungkin disebabkan tidak didedahkan atau tidak dijadikan sebagai amalan. Yang pasti, tidak ada kalimah ‘terlambat’ untuk kita mendekatkan diri dengan al-Quran dan isinya. 

Lagipun, sekarang ini pelbagai cara untuk mempelajari al-Quran. Di pasaran terdapat al-Quran elektronik yang boleh membantu kita belajar membaca al-Quran. Bagaimanapun, setiap proses pembelajaran, adalah lebih baik kita berguru. 

Sekurang-kurangnya berlaku komunikasi dua hala, mana yang tidak faham dapat ditanya dan mendapat jawapannya sementara yang kurang jelas dapat diperjelaskan. 

Ibnu Abbas menceritakan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang di dalam dirinya tidak ada (tidak hafal) suatu ayat al-Quran pun, keadaannya sama dengan rumah yang kosong.” Fikir-fikirkanlah. 

No comments: